Saturday, January 31, 2009

janganlah menganggap mereka sebagai tikus uji kaji ;'(


Gaza medan uji senjata kimia Israel


Peluru berisi fosforus seperti bom jangka dalam badan

PELUANG merawat dan memeriksa mangsa serangan kimia fosforus di Hospital Al-Sifa' di sini, membawa penemuan mengejutkan bagi doktor dari Malaysia, Dr Jamnul Azhar Mulkan, 41, apabila mendapati tentera Israel turut mencampurkan kimia berkenaan ke dalam peluru rifel atau mesingun yang ditembak ke arah orang awam.

Beliau yang ditemui di hospital itu berkata, peluru mengandungi kimia berkenaan dianggap amat berbahaya kerana sifatnya seperti bom jangka dalam tubuh mangsa.

Katanya, doktor yang melakukan pembedahan bagi mengeluarkan peluru terkejut apabila ia seolah-olah melarut seperti asid sebaik terdedah ke udara.

"Kimia fosforus yang bertindak balas dan terbakar sebaik bercampur oksigen menyebabkan mangsa lebih terseksa jika usaha mengeluarkan peluru itu dilakukan.

"Keadaan ini menyebabkan pakar yang cuba menyelamatkan nyawa mangsa serba salah dan buntu berhubung kaedah selamat yang harus digunakan," kata beliau yang mewakili Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid).

Katanya, seorang mangsa, Ahmad, 16, menerima nasib malang apabila perutnya ditembak dengan peluru fosforus pada 12 Januari lalu.

"Mangsa dihantar ke Hospital Al-Sifa sebelum pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari perutnya.

"Namun sebaik peluru berisi fosforus itu terdedah kepada udara, ia tiba-tiba terbakar sebelum merebak. Akibatnya doktor terpaksa memotong tali perut mangsa yang hancur," katanya.

Katanya, mangsa yang semakin parah bagaimanapun terpaksa menjalani tiga lagi pembedahan susulan dalam tempoh dua minggu berikutan luka pada perutnya mereput dan bernanah walaupun diubati.

"Kesan kimia fosforus amat kejam kepada manusia dan mangsa seolah-olah diseksa perlahan-lahan hingga nafas terakhir," katanya dengan nada sedih.

Beliau yang ditemui wartawan Berita Harian memberitahu, turut sebak apabila melihat kesan kecederaan Ahmad Darwis, 17, yang parah terkena serpihan peluru fosforus.

"Remaja itu terkena serpihan peluru mesingun yang ditembak helikopter Apache Israel di Betlhia, Gaza.

"Namun kimia fosforus daripada peluru yang pecah itu cukup untuk membakar kulit kepalanya selain menyebabkan biji mata kanannya buta serta merta," katanya.

Beliau berkata, sepanjang kerjayanya kecederaan parah yang dilihat di Gaza paling menyayat hati.

"Air mata mengalir apabila melihat deretan mangsa termasuk kanak-kanak hanya menanti ajal kesan penggunaan senjata diharamkan itu.

"Ini adalah peperangan antara manusia dengan bukan manusia (Israel)" katanya.

Sementara itu, seorang doktor sukarelawan dari Jordan, Dr Adnan Abu Ramadan, menganggap tindakan Yahudi menggunakan peluru kimia seperti menyamakan penduduk Gaza dengan tikus uji kaji yang mudah untuk dibunuh.


Sumber : Berita Harian

0 komen yang bernas?: